Zaman sekarang adalah zaman yang sangat mencabar, kos sara hidup semakin meningkat dari hari ke hari. Tidak cukup jika anda hanya bergantung dengan satu pendapatan sahaja kerana ia tidak lagi mampu menjamin keselesaan hidup terutama bagi mereka yang telah berkeluarga. Semakin ramai yang mula mencari pelbagai cara dan melakukan pelbagai kerja untuk jana pendapatan sampingan. Terpaksa kerja lebih masa sehingga mengabaikan kesihatan dan keluarga.
Mengapa anda perlu bersusah payah untuk melakukan banyak kerja sedangkan anda boleh bina perniagaan sendiri yang lebih menguntungkan hanya dari rumah?
Jadi untuk artikel kali ini, tidak kira siapa pun anda, sama ada pelajar, surirumah, penganggur, sedang bekerja atau sesiapa sahaja asalkan anda mempunyai minat dan keinginan yang tinggi serta kemahuan untuk menjana pendapatan sampingan atau masa depan yang lebih baik, jom kami bantu anda. Mana tahu, mungkin dengan bisnes yang anda sedang bina sekarang ini akan menjadi pendapatan utama anda kelak.
Nak mulakan bisnes tetapi tiada modal?
Tidak tahu cara?
Tiada pengalaman?
Jangan risau, dalam artikel ini kami akan kongsikan langkah-langkah untuk memulakan bisnes online bermula dari ‘zero’.
Ayuh! Kami bantu anda.
Isi Kandungan
1. Pengenalan Tentang Perniagaan Online
1.1 Apakah Maksud Perniagaan Online?
Tahukah anda, cara yang paling mudah untuk mulakan perniagaan adalah menggunakan internet?
Perniagaan internet merupakan perniagaan yang dilakukan secara online yang mana ia menggunakan internet sebagai medium perantaraan antara penjual dan juga pembeli.
1.2. Kenapa Anda Perlu Pilih Perniagaan Online?
Perniagaan online boleh dilakukan di mana-mana sahaja asalkan anda ada kemudahan telefon dan data internet. Yang paling penting anda sudah boleh bermula sekarang jika anda sudah ada idea dan tahu apa yang ingin anda jual.
Tetapi…! Sebelum itu, anda perlu faham dahulu proses jual beli yang berlaku secara online. Jom kita lihat di bawah,
1.3. Proses Jual Beli Yang Berlaku Secara Online :
1. Pengguna akan buat carian produk/servis
Pembeli atau pengguna akan membuat carian produk atau servis yang diingini di platform internet. Selalunya mereka akan membuat carian di Google atau Facebook. Ini adalah tempat carian utama yang selalu digunakan di serata dunia.
Oleh itu, anda perlu fikir apakah produk atau servis yang orang selalu cari, supaya kos marketing, kos iklan dan sebagainya tidak perlu dikeluarkan tetapi orang masih lagi jumpa bisnes anda.
2. Mereka akan klik link dan terus ke kedai online
Apabila carian sudah dilakukan, akan keluar senarai nama produk atau servis yang disediakan oleh kedai-kedai online, pembeli atau pengguna akan memilih kedai yang mereka suka
3. Komunikasi melalui call/whatsapp
Pelanggan akan menghubungi anda samada melalui panggilan, mesej atau whatsapp.
4. Transaksi Pembayaran Online
Jika mereka berminat, pembayaran akan dibuat dan resit pembayaran akan dihantar kepada anda sebagai bukti pembayaran.
5. Sediakan barang dan pos
Proses seterusnya pula adalah penyediaan barang yang telah dipersetujui dan penghantaran melalui pos.
2. Langkah Memulakan Perniagaan Online
Apabila anda sudah faham proses pembelian di atas, lebih mudah untuk anda mulakan bisnes secara online.Sekarang masa untuk jadikan bisnes kita ini wujud dalam pasaran online.
Langkah 1 : Pilih Produk Yang Ingin Dijual.
Pertama sekali, anda perlulah pilih dahulu produk atau servis yang anda hendak jual. Paling mudah cari produk yang anda biasa guna atau produk orang di sekeliling anda guna. Pastikan produk atau service yang anda pilih itu, sesuatu yang anda suka dan juga mudah untuk anda dapatkan.
Bagaimana untuk mendapatkan produk untuk dijual?
- Dropship
- Jadi agen
- Beli di kedai secara borong & jual balik secara online
- Beli dari pemborong online seperti Alibaba
- Buat produk sendiri seperti jamu, pes makanan dan sebagainya
- Menghasilkan tempahan kraftangan seperti jahitan, gubahan dan sebagainya
- Buat menggunakan kilang OEM atau upah orang lain
Untuk memulakan perniagaan secara online dengan segera, pilihan yang terbaik adalah bermula dengan memberikan perkhidmatan mengikut kemahiran yang sudah anda miliki. Modal permulaan yang perlu dikeluarkan juga adalah lebih rendah atau mungkin tiada langsung (bergantung kepada jenis perkhidmatan yang anda tawarkan).
Selain itu, anda juga dapat menjimatkan kos operasi kerana apabila ada permintaan, barulah anda sediakan pesanan yang diminta. Selalunya pembeli akan membayar dahulu sama ada secara penuh atau meletakkan deposit, jadi anda sudah mempunyai modal untuk menyiapkan pesanan mereka. Dengan ini, tidak berlaku pembaziran atau lebihan barang kerana anda hanya perlu menyiapkan pesanan mengikut kuantiti yang telah diminta. Segalanya mudah untuk diuruskan kerana semuanya dibawah kelolaan anda sendiri.
Sebelum meletakkan harga jualan, pastikan dahulu anda sudah mengira semua kos seperti pembungkusan, penghantaran termasuk keuntungan yang anda akan peroleh sebelum harga mati diputuskan.
Langkah 2 : Membuat Kajian & Penyelidikan Produk
Setelah anda memilih produk yang anda ingin jual, anda perlu melakukan kajian lanjut berkenaan produk dan juga kajian pemasaran untuk produk berkenaan.
Anda perlu belajar dan buat kajian berkenaan kekuatan jenama, kegunaan, kebaikan, kelemahan dan lain-lain aspek yang boleh membantu anda dalam mempromosikan produk berkenaan. Ia penting untuk mengenal pasti target market atau sasaran pelanggan yang berpotensi untuk membeli produk tersebut.
Antara tip yang anda boleh gunakan adalah membuat carian produk atau servis syarikat atau kedai online yang menjual produk yang sama di facebook atau google. Perhatikan Facebook page mereka, lihat semua yang terdapat di dalam page itu seperti gambar, video, audio, komen pelanggan mereka dan sebagainya. Perhatikan juga website, kandungan, konten dan lihat cara mereka perkenalkan produk atau servis yang mereka berikan. Ambil nota catatan sebagai rujukan untuk anda praktikkan dalam kedai online anda sendiri.
Langkah 3 : Membina Kedai Online
Setelah mengenalpasti dan mempelajari berkenaan produk, anda perlulah bersedia untuk membina kedai online anda sendiri.
Untuk membina kedai online, anda perlu mencipta nama kedai, logo, tagline yang akan anda gunakan untuk promosi kedai anda nanti. Ia bertujuan untuk memudahkan orang ramai untuk kenal dan ingat Jenama kedai anda. Cipta satu nama yang unik dan mudah dieja, nama yang tiada siapa pun yang pernah guna adalah lebih baik, dan jika boleh cipta nama yang hanya menggunakan dua atau tiga suku kata sahaja. Contoh seperti Zalora. Adjemz, Shopee,
Seterusnya, bina Facebook page atau website. Tulis nama page yang berkait rapat dengan bisnes yang anda buat, supaya apabila orang buat carian, page anda akan terus naik. Di dalam page itu, masukkan semua konten seperti profile picture, poster iklan, gambar, video dan teks. Pastikan anda meletakkan profile picture, yang menunjukkan produk atau servis yang sedang anda buat. Lebih baik jika anda meletakkan logo bisnes di profile picture dan pastikan segala maklumat mengenai bisnes anda di Facebook page dan website adalah lengkap berserta dengan maklumat cara untuk menghubungi anda sama ada melalui email, whatsapp atau no telefon. Masukkan sekali SOP cara membuat tempahan dan pembayaran, prosedur pos atau penghantaran produk.
Langkah 4 : Promosi dan Perkenalkan Produk Anda
Setelah anda selesai membina kedai online, langkah ke-empat pula adalah pasarkannya. Anda perlu jemput semua rakan-rakan di Facebook untuk like page anda. Penting di sini untuk anda menjaga hubungan yang baik dengan rakan-rakan untuk potensi bisnes anda lebih dikenali, sentiasa kekal aktif dan promosi bisnes percuma melalui rakan-rakan anda kepada rakan-rakan mereka yang lain pula. Selain itu, anda juga boleh menghantar pesanan ringkas melalui whatsapp ke seluruh rakan-rakan anda mengenai bisnes yang sedang anda lakukan sekarang. Contohnya seperti meminta mereka sentiasa support bisnes anda. Setiap minggu pastikan juga anda tidak lupa untuk share page bisnes di Facebook dua atau tiga kali supaya orang tahu yang anda masih lagi menjalankan bisnes itu.
Langkah 5 : Iklankan Produk Secara Online
Langkah seterusnya pula adalah iklankan produk atau servis dan Facebook page tersebut di Google My business, pastikan anda daftar bisnes di Google My Business dahulu. Iklankan juga di Mudah.my, majalah.com, Facebook marketplace dan bina blog menggunakan blogger/blogspot. Semua medium ini adalah percuma, jangan sia-siakan peluang anda untuk dapatkan pelanggan. Letak segala maklumat mengenai bisnes anda seperti gambar, video dan sebagainya. Sangat rugi kalau anda tidak manfaatkan peluang yang sedia ada untuk perkenalkan lagi bisnes anda. Gunakan juga iklan berbayar seperti Facebook Ads. Buat satu iklan simple, mengandungi gambar atau video. Terangkan bisnes apa yang kita buat, buat bagi lengkap dan padat dengan segala maklumat mengenai produk atau servis yang anda tawarkan.
Kenapa pula perlu guna iklan berbayar?
Supaya anda mampu tarik pelanggan yang lebih ramai. Sasarkan pelanggan yang betul supaya duit iklan anda tidak melayang begitu sahaja dan kekalkan iklan yang bagus dan berpotensi sebagai billboard bisnes anda dalam pasaran online.
Langkah 6: Berikan Tawaran Terbaik & Menarik
Langkah terakhir adalah berikan tawaran yang terbaik untuk menarik minat pelanggan. Tawarkan servis percuma untuk bina kredibiliti, sediakan gambar testimoni sebagai bukti untuk tarik pelanggan baru. Antara tawaran yang boleh anda berikan adalah harga promosi pembukaan, tawaran khas untuk 10 orang pelanggan, atau tawarkan apa sahaja asalkan dapat menarik perhatian pelanggan. Pada peringkat awal, anda tidak memerlukan keuntungan lagi, apa yang anda mahu adalah untuk bina kepercayaan dahulu kepada orang ramai. Memadai jika anda hanya dapat untung sikit atau sudah boleh tampung kos yang telah anda keluarkan. Selepas anda sudah berjaya bina kepercayaan pelanggan, akan lebih mudah untuk anda dapatkan lebih ramai lagi pelanggan yang lain selepas ini. Bermula dari situ, keuntungan akan mulai terhasil.
Ini adalah 6 langkah mudah yang perlu anda buat apabila anda membina sebuah bisnes yang baru bermula dari ‘zero’.